Wednesday, January 20, 2010

ESTETIKA


Perkataan estetika berasal dari perkataan Yunani iaitu ‘aisthesis’ yang membawa makna kepekaan. Istilah ini memberi tumpuan hanya kepada hal-hal yang bersangkutan dengan ungkapan indah dan keindahan. Teori estetik menumpukan kepada hal-hal berkenaan rasa keindahan dalam sesebuah hasil seni ciptaan manusia seperti sesebuah hasil karya, tidak kira apa sahaja bentuk seni samada seni rupa (terutamanya seni halus) dan rekabentuk (lukisan, arca, grafik, fesyen, catan, hiasan dalaman, lanskap, senibina dan lain-lain), seni muzik, seni sastera dan sebagainya. Istilah estetik mula diperkenalkan oleh Alexander Baumgarten (1714-1762), seoarang ahli falsafah Jerman.

Pada awalnya sehingga kini pun pengkajian estetik sebenarnya tertumpu dalam bidang seni halus dan sastera. Namun bidang kesenian lain tetap akan diperkatakan dalam bidang estetik. Ahli falsafah yang banyak membentuk dan memperkemas pengertian estetik ialah George Wilhelm Friedrich (1770-1831). Estetik adalah sebahagian daripada bidang ilmu falsafah yang luas. Konsep estetik ialah konsep yang agak lewat sedikit kelahirannya dalam falsafah. Konsep ini wujud sebagai akibat daripada rancaknya perbincangan tentang teori keindahan dan teori seni yang merupakan tajuk kembar dalam sejarah pemikiran manusia.

Plato memperkatakan kedua-dua teori keindahan atau teori seni melalui karya-karya dialognya seperti Ion, symposium, Sophist, Laws dan Phaedrus. Sehingga kurun ke-18, ahli-ahli falsafah memusatkan perbincangan kepada ciri-ciri semulajadi keindahan. Akan tetapi setelah kurun ke-18, ruang lingkup intipati keindahan mula diperluaskan oleh ahli-ahli falsafah dengan memperbincangkan konsep-konsep baru seperti rasa ketakjuban (sublime). Pada waktu yang sama, beberapa orang ahli falsafah seperti Shaftsbury, Burke dan Kant muncul mengembangkan teori cita rasa yang membantu mereka menganalisis pengalaman seseorang sewaktu mengalami rasa keindahan, ketakjuban dan fenomena-fenomena lain yang berhubungkait dengan alam semulajadi dan seni. Lantas teori keindahan diketepikan dan tempatnya digantikan dengan estetik. Menjelang akhir abad ke-19, perkataan “estetika” digunakan kepada pergerakan-pergerakan tertentu dalam pelbagai bentuk seni dan terutamanya kepada pergerakan penulis dan seniman yang dihubungkan dengan slogan “Seni Untuk Seni” (Art for art’s sake).

Menurut karyawan seni Barat, seni terbahagi kepada dua bahagian iaitu i) Seni untuk seni ii) Seni untuk masyarakat.

i) Seni untuk seni

Seni untuk seni membawa maksud segala ciptaan seni adalah bertujuan untuk seni sahaja. Seniman bebas menghasilkan karya untuk apa-apa tujuan sahaja, sama ada ia mengandungi mesej positif atau negatif. Dengan itu, seniman boleh mencipta sesuatu seni tanpa difahami oleh orang lain serta penggunaan bahan penciptaan yang menyalahi etika kemanusiaan. Falsafah “seni untuk seni’’ boleh menjerumuskan diri seniman ke lembah khayalan. Seterusnya, memperhambakan diri secara fanatik kepada seni. Ia lebih berasaskan kepada perasaan bukan kepada akal yang rasional. Seni untuk seni juga boleh dilihat dari segi kesusasteraan iaitu dengan melihat hubungannya dengan masyarakat. Oleh sebab penekanan utama di sini ialah kesan yang mungkin ditimbulkan oleh kesusasteraan ke atas pembacanya (atau penonton bagi persembahan drama), teori seumpama ini sering dikatakan sebagai teori pragmatik (yang mempunyai hubungan dengan kesan praktis). Begitu juga oleh sebab kesan ini sering dianggap sebahagian besarnya sebagai bersifat emosi, kadang kala teori ini juga dikatakan teori kesan (emosi, perasaan atau mood).

Tujuan utama kesusasteraan ialah untuk menawan perasaan khalayak, untuk membangkitkan tindakbalas, emosi yang hebat dan dengan itu dapat memberikan kepuasan. Daripada satu segi timbulnya anggapan bahawa pembaca atau penonton terlibat secara sepenuhnya dengan watak-watak itu sehingga rasa identiti dirinya lenyap atau hapus sama sekali. Daripada segi yang lain muncul pula teori pembaca atau penonton tinggal terpisah secara “jarak psikik” (psychical distance) diantara diri dengan karya itu, sehingga dia sentiasa menyedari hakikat bahawa dia tidak berdepan dengan kehidupan itu sendiri tetapi dengan sebuah hasil seni. Horace dalam ArtsPoetica menyatakan bahawa penyair samada mengajar atau menghibur, sebaik-baiknya sekaligus menggabungkan sesuatu yang bermanfaat (utile) dengan sesuatu yang indah dan menyeronokkan (dulce).

ii) Seni untuk masyarakat

Falsafah “seni untuk masyarakat’’ adalah lebih kepada penciptaan seni yang mudah difahami oleh masyarakat apabila melihatnya walaupun tanpa melihat judul karyanya lebih kepada pengajaran. Hasil karya yang dicipta mempunyai mesej sebagai pengajaran kepada masyarakat. Oleh kerana ini, karya jenis ini mempunyai tema sendiri seperti bertemakan politik, sosial, keagamaan, alam sekitar dan sebagainya. Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan yang merangkumi aspek-aspek kehidupan manusia seperti kemasyarakatan, ekonomi, politik, pendidikan, keagamaan, sains dan teknologi. Seni juga boleh mewujudkan kesejahteraan hidup yang bersesuaian dengan nilai-nilai agama dan masyarakatnya. Dalam memahami seni, adalah penting untuk memahami kedudukan seni dalam masyarakat serta perkembangan masyarakat itu sendiri. Ciri-ciri luaran dan dalaman seni saling berhubungan serta sama penting dalam mengetengahkan perkara-perkara ini.

Seni mencerminkan budaya dan tamadun sesebuah masyarakat. Ini dapat dibuktikan sejak zaman prasejarah lagi, misalnya menerusi lukisan di dinding Gua Batu Altamira di Sepanyol yang menceritakan kepercayaan dan aktiviti masyarakat ketika itu. Pada zaman pertengahan Eropah pula, catatan manuskrip digunakan sebagai media pendidikan dan alat ketamadunan, sementara manuskrip awal Parsi merakam teknologi perubatan, cerita rakyat dan syair pilihan. Seni bina Yunani melukiskan kemajuan teknologinya, manakala catan lanskap Cina menerangkan kepercayaan mereka bahawa manusia adalah sebahagian daripada alam. Seni ukir Melayu tradisi juga membawa makna yang besar yang berkaitan dengan budaya dan keagamaan, manakala seni arca dan topeng Afrika berhubungan dengan tarian yang dianggap sebagai lakonan kehidupan dan kepercayaan.

Selain itu, seni boleh berfungsi sebagai senjata budaya untuk memperbaiki kepincangan yang wujud dalam masyarakat. Karya seni yang bersifat merakam itu boleh menjadi dokumen sejarah, memperdebatkan, mempertikaikan, mempersembahkan, menyokong ataupun menolak sesuatu isi. Menerusi seni, manusia boleh mengenali budaya, alam dan masyarakatnya. Seni ini memberi mesej menerusi ciri-ciri formal seni lukis seperti warna, bentuk, garisan, pergerakan, rupa, komposisi, struktur, alunan, keseimbangan dan tidak ketinggalan juga penggunaan bahan. Ciri-ciri formal tersebut diolah menerusi bahan-bahan yang tertentu yang bersesuian dengan mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contohnya, seni lukis kartun dan komik boleh menjadi wadah bagi memperbaiki kepincangan yang wujud dalam masyarakat untuk mempertingkatkan moral. Ia menjadi cermin kehidupan dan senjata budaya dengan mengkritik, merakam, menolak, mempertahankan serta menyokong sesuatu isu semasa.

Konsep “seni untuk masyarakat” Hamzah Hussin juga membuka ruang bagi menyematkan idea kemasyarakatan. Di sini, kita dapat lihat bahawa Hamzah turut mementingkan isi cerita. Beliau pernah mengulas sebuah karya Ismail Falah yang bertajuk,“Pengaruh Serban”. Karya ini terhasil daripada aspirasi pengarangnya yang mahu ‘menyedarkan orang-orang kita dari tertipu oleh sebahagian daripada guru agama yang membangga dengan jubah dan serban’ (Hiburan Ogos 1950). Karya ini mendapat sanjungan daripada Hamzah walaupun pengarangnya jelas mementingkan mesej karya tersebut. Malah beliau dalam keadaan yang lain pernah mengatakan,‘tidak ada salahnya pujangga baru atau sasterawan 50, memajukan aliran fikiran supaya jangan hanya berseru bulat-bulat pada takdir (Hiburan 2 Sept. 1950). Idea seumpama ini banyak terdapat dalam wacananya. Jadi, konsep ‘seni untuk masyarakat’ Hamzah masih mempunyai ikatan sosial yang kuat. Walaupun bentuk diutamakan tetapi isi tetap mendapat perhatian.

NILAI-NILAI ESTETIKA

Konsep Baik

Konsep kebaikan menjadi suatu kriteria sejak dahulu dengan bermulanya keupayaan kontemplasi filsafat manusia dan sering berbeza dan berubah dalam hubungan manusia, alam semesta dan Tuhan. “Baik” itu mewakili suatu sifat yang diterima sebagai mendekati suatu kualiti yang ditetapkan sama ada yang diilhamkan oleh Tuhan atau tradisi bekerja demi melindungi atau manfaat manusia. Hal ini bermakna, bentuk sesuatu objek sesuatu diterima sebagai baik di bawah syarat-syarat yang wujud atau bentuk-bentuk saingannya. Kumpulan pemikir melihat istilah baik sebagai bersifat nisbi yang wujud atas tuntutan manusia dan diubah mengikut kehendak manusia seterusnya menggambarkan eksperisi manusia dan penyelesaiannya.

Konsep Indah

Konsep keindahan (estetika) merujuk kepada rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan, yang baik dan dihargai. Penemuan kita pada objek-objek yang indah atau ‘berseni’ dalam kehidupan harian akan mewujudkan rasa gembira dan senang. Contoh terbaik yang dapat menggambarkan ciri-ciri keindahan ini ialah Al-Quran yang merupakan sumber utama kepada seni kesusasteraan Islam. Keindahan bahasanya dan tepat maknanya adalah kelebihan mukjizat yang dapat dibuktikan dengan pemelukan Islam di kalangan musyrikin Makkah apabila mendengar bacaan Al-Quran seperti mana yang berlaku kepada Labid, Rabi’ah dan Jubair bin Mat’am.

Konsep keindahan (estetika) merupakan prinsip yang memberikan keistimewaan kepada seni Islam berbanding dengan seni bangsa lain. Dalam agama Islam keindahan adalah sesuatu yang sememangnya digalakkan seperti tercatat dalam Hadith Nabi:

“Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia Suka Kepada Keindahan’’.

(Hadith Muslim dalam Kitab al-Iman)

Fungsi Sebagai Keindahan

Keindahan dihubungkaitkan dengan fungsi tetapi manusia tidak banyak memberi maklumbalas kepada prestasi atau pencapaian bersifat kualitatif tetapi lebih kepada bentuk yang berfungsi dengan cekap digambarkan sebagai indah. Doktrin fungsi dalam seni menegaskan bahawa setiap bahagian bagi sesuatu bentuk mesti beroperasi secara sinergi (bahagian-bahagian jika disatukan mesti lebih daripada jumlah bahagian-bahagiannya) dalam menghasilkan karya seni. Setiap bahagian berhubungan secara positif dengan semua bahagian lain mewujudkan satu bentuk keseluruhan sebagai sesuatu yang lebih diharapkan.

Konsep Menarik

“Menarik” adalah sifat yang mengungkapkan keupayaan sesuatu objek untuk menarik (perhatian) dan memegang atau mengekalkan perhatian dalam suatu jangka masa tertentu. Sesuatu benda dianggap menarik berdasarkan beberapa sebab iaitu:

i) Berkaitan dengan minat yang sudah sedia ada

ii) Kemungkinan baru, berbeza, atau tidak biasa

iii) Ekspresif idea atau ketrampilan yang kita kagumi.

Dalam kesenian, minat dan tarikan berhubungkait dengan kesedaran dan kesenangan kita mewujudkan suatu hubungan dengan pancaindera. Kunci utama kemampuan yang menjanjikan kepuasan yang dicetuskan dari konteks pancaindera atau pertempuran intelektual yang berlaku. Konsep menarik bersifat neutral baik dari segi baik buruknya, cantik atau hodoh.

KESEDARAN ESTETIKA DALAM FALSAFAH SENI

1) Tumpuan Tanpa Minat

Kita membaca Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad sebagai kritikan sosial kelompok petani Melayu. Maka karya ini tidak dianggap sebagai karya estetik kerana pembaca menatapnya hanya untuk mengetahui dan menyelaminya tentang sosiobudaya petani Melayu dan bukan sebagai karya sastera.

2) Subjektivisme

Menilai karya seni dari sikap / pengalaman mereka sendiri. Ini juga dipanggil subjektivisme peribadi. Ia berdasarkan ada nilai sesuatu karya seni dan perubahan citarasa yang mana perubahan citarasa ini berubah dari zaman ke zaman dan perubahan ini akan berlaku dengan perubahan usia, persekitaran dan pengalaman . Contoh penikmat A suka kepada permandangan tepi laut dengan ombak bergulung-gulung kerana pengalamannya yang menyeronokkan ketika bermain di laut berbanding penikmat K yang tidak suka kerana ada ahli keluarganya yang menemui kemalangan di laut. Maka lukisan permandangan tepi laut dikatakan tidak ada nilai estetik.

PERSEPSI / SUDUT PANDANGAN ESTETIKA DALAM FALSAFAH SENI

Terdapat dua cara pandang persepsi ;

1. jurus pandang estetik / perhension

2. jurus pandang tidak estetik (pemerhatian)

contoh: petikan sajak ‘kekasih’ karya Usman Awang.

Akan ku anyam gelombang-gelombang

Menjadi hamparan

Ranjang tidurmu………

Jika ditinjau dari jurus pandang normal, mungkin akan timbul kekalutan kerana betapa berbahayanya mahu jadikan gelombang sebagi tempat tidur tetapi apabila dilihat di jurus pandang estetik, gelombang menggambarkan bahagian permukaan yang sejuk, damai dan yang membuatkan seseorang tidur lena. Mula-mula kita lihat sajak ini sebagai objek fizikal dan kita akhirnya kepada jurus pandang estetik dan gelombang itu menjadi objek estetik.

MASALAH MENGKONSEPSIKAN CIRI-CIRI ESTETIKA DALAM FALSAFAH SENI

Adalah sukar untuk menyenaraikan satu pemasalahan utama estetika yang harus diurusi. Masalahnya berubah dari zaman ke zaman. Ciri estetika abad ke 20 pada dasarnya memberi tumpuan kepada persoalan ‘apa itu seni?’. Usaha bagi menghasilkan satu definisi hasil ‘karya seni’ yang memuaskan berpusat pada percubaan untuk mencari satu sifat atau ciri yang dimiliki oleh semua hasil karya seni dan tidak terdiri daripada intipati seni. Di sini ciri yang paling jelas ialah keindahan namun timbul persoalan banyak benda yang indah tetapi bukan karya seni. Jadi keindahan tidak akan menjadi syarat utama untuk seni.

REAKSI ESTETIKA DALAM FALSAFAH SENI

Seterusnya reaksi estetika wujud apabila sesuatu hasil seni itu bernilai. Reaksi estetika ini juga tercetus apabila kita melihat keindahan suasana matahari terbenam dan lautan berkabus serta bergelombang, flora dan fauna serta iklan. Reaksi estetika ini mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah tahap persepsi iaitu mengakui dan memberi tindakbalas terhadap keindahan secara berasingan daripada nilai-nilai seharian dan ciri-ciri formalnya. Di sini kita dapat menyatakan bahawa semua objek ciptaan manusia sebagai seni kerana kita menganggap ia sebagai pembangkit maklum balas estetik. Manakala tahap kedua ialah tahap maklum balas, iaitu kita melahirkan kepuasan terhadap karya yang diminati.

No comments:

Post a Comment